PUTRAJAYA – Sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandakan detik bagi SPRM memaksikan perjuangan era baharu untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad semasa menegaskan perkara itu berkata, ini sekali gus menjadi suara dan kudrat dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.
“SPRM akan sentiasa mengutamakan rakyat dan memastikan hak serta kepentingan rakyat tidak dihimpit penindasan disebabkan gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-50 penubuhan BPR /SPRM dan perasmian Kompleks Ibu Pejabat SPRM oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini.
Dzulkifli berkata sejarah perjuangan memerangi rasuah telah berlaku sejak beberapa dekad yang lalu, memerlukan SPRM untuk mengubah kaedah pencegahan dan pembanterasan rasuah sedia ada ke arah pendekatan baharu.
“Ini bukan sahaja memerlukan SPRM untuk bertindak lebih agresif dalam tindakan penguatkuasaan dan operasinya, tetapi memerlukan SPRM untuk mendekati masyarakat secara lebih mesra, dekat dan menyeluruh dalam skala yang besar,” katanya.
Dzulkifli berkata sejak berkhidmat menerajui SPRM bermula 1 Ogos tahun lepas, beliau mendapati seluruh keluarga besar SPRM telah memaparkan kesungguhan dan dedikasi yang luar biasa dengan hasil operasi yang membanggakan.
“Bagi tempoh Ogos 2016 hingga Ogos 2017, jumlah maklumat yang diterima adalah sebanyak 6,419, yakni peningkatan sebanyak 2.63 peratus dan jumlah tangkapan sebanyak 910 iaitu peningkatan sebanyak 6.04 peratus berbanding tempoh setahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 952 kertas siasatan dibuka iaitu meningkat 2.94 peratus, 405 kes pertuduhan dilaksanakan iaitu meningkat 32.83 peratus manakala jumlah sitaan nilai harta adalah sebanyak RM334.53 juta berbanding hanya RM55.02 juta bagi tempoh yang sama setahun sebelumnya.
Berhubung ibu pejabat SPRM baharu itu yang merupakan kompleks agensi pencegahan rasuah terbesar di dunia, Dzulkifli berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan.
“SPRM juga menganggap ia merupakan tanda sokongan kerajaan kepada segala usaha SPRM,” katanya. – BERNAMA