SANDAKAN – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yakin Pergerakan Wanita UMNO akan memainkan peranan berkesan untuk memastikan negeri ini terus menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Musa yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata Wanita UMNO merupakan tulang belakang kepada perjuangan parti itu selama ini bersama dua lagi sayap iaitu Pemuda dan Puteri.
“Sokongan daripada tiga sayap ini penting kepada UMNO dan BN khususnya dalam menghadapi PRU14,” katanya ketika merasmikan Majlis Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU14 UMNO Zon Lima di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Armani Mahiruddin.
Musa turut menyifatkan program Jalinan Rakyat (JR) pergerakan itu sebagai pendekatan berkesan untuk mendekati rakyat khususnya pengundi di akar umbi.
Terdahulu, Shahrizat berkata beliau mahu semua jentera Wanita di setiap peringkat memastikan program JR dilaksanakan mengikut rangka yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan agar pergerakan itu bergerak dengan teratur untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14 nanti. – BERNAMA