KUANTAN – Penubuhan MyBomba Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) akan dijadikan sebagai sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menggalakkan penubuhan pasukan itu, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata penubuhan MyBomba JPP ada dinyatakan di dalam buku panduan JPP, namun sehingga ini penubuhannya masih dipandang sepi.
“Perkara utama dalam kebakaran ialah usaha pencegahan. Peranan ini boleh dimainkan oleh MyBomba JPP yang juga boleh memberi bantuan awal jika berlaku kebakaran sementara menunggu ketibaan bomba.
“Ini boleh mengurangkan risiko kebakaran yang lebih besar dan menyelamatkan nyawa. Pihak bomba sendiri akan menjalankan latihan dan berkongsi kepakaran supaya mereka tahu tindakan yang betul pada waktu kecemasan itu,” katanya.
Noh berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPP Sesi 2017-2019 dan Penganugerahan Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Katanya pada masa ini, masa purata yang diambil oleh bomba untuk bertindak dalam situasi kecemasan ialah kira-kira 0 minit, namun ada masanya berhadapan dengan masalah lain yang mungkin melewatkan ketibaan pasukan itu.
Beliau juga berharap JPP menjadi ‘mata’ untuk menyalurkan maklumat kewujudan pusat tahfiz atau rumah kebajikan yang dilengkapi asrama termasuk rumah anak yatim dan warga emas kepada pihak bomba untuk tujuan pemeriksaan dari segi keselamatan mencegah kebakaran.
“Kita harap mereka yang mengendalikan pusat ini berlapang dada dan terima teguran bomba.
Kita tidak berniat untuk menutup pusat ini, tapi hendak pastikan bangunan selamat kerana soal ini melibatkan nyawa,” katanya.
Mengulas mengenai syarat wajib JPP lulus peperiksaan untuk pengesahan lantikan atau lanjutan tempoh lantikan, Noh berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana setakat ini tiada anggota JPP yang gagal dalam peperiksaan itu.
Katanya, syarat itu lebih untuk memastikan JPP membaca dan memahami tanggungjawab serta panduan yang ditetapkan supaya tiada yang mengambil kesempatan menjadi anggota JPP hanya untuk mendapatkan elaun.
Pada majlis itu, Noh mengumumkan dua PBT di Pahang iaitu Majlis Daerah Kuantan dan Pekan berjaya mendapat penarafan lima bintang manakala Maran, Bentong, Rompin, Bera, Jerantut, Kuala Lipis, Temerloh dan Raub mendapat empat bintang. – BERNAMA