KUALA LUMPUR – Pelaburan swasta turut akan mendorong KDNK benar Malaysia mencatat peningkatan tambahan sebanyak 0.3 peratus tahun ini, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018.
KDNK benar Malaysia dijangka berkembang antara 5.2 peratus dan 5.7 peratus pada 2017, manakala 5.0 peratus dan 5.5 peratus tahun depan.
Laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu berkata, keuntungan syarikat merupakan faktor terpenting bagi pelaburan swasta.
“Unjuran dalaman menganggarkan peningkatan kadar pulangan sebanyak satu peratus akan meningkatkan pelaburan swasta dengan tambahan pertumbuhan sebanyak enam peratus dan menyumbang peningkatan guna tenaga sebanyak 0.4 peratus,” menurut laporan itu.
Pertumbuhan tersebut juga akan meningkatkan upah dan seterusnya mengukuhkan penggunaan swasta, menurut laporan tersebut.
Pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2010 telah merancakkan pelaburan swasta dengan peningkatan ketara perbelanjaan modal dalam semua sektor.
Laporan itu turut menyatakan ETP berhasil memberi hasil yang ketara kepada ekonomi Malaysia, meningkatkan sumbangan pelaburan swasta bagi KDNK kepada 15.6 peratus dalam tempoh 2011 hingga 2016, berbanding 12.1 peratus dicatatkan pada 2005-2010.
Secara purata, pelaburan swasta meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM168.9 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2016, berbanding 8.9 peratus (RM81.5 bilion) pada 2005-2010.
Dari segi sumbangan, pelaburan dalam sektor perkhidmatan meningkat ketara dengan mencatat lebih separuh daripada jumlah pelaburan swasta terutamanya dengan liberalisasi berterusan dalam sektor ini.
Pelaburan ini disalurkan khususnya dalam subsektor perdagangan edaran; maklumat dan komunikasi; pengangkutan dan penyimpanan; serta subsektor berkaitan pelancongan, menurut laporan itu.
Sumbangan sektor pembuatan menyusut kepada 25.4 peratus pada 2011-2016 berbanding 31.6 peratus (2005-2010), sebahagiannya disebabkan oleh peralihan fokus kerajaan dalam menarik pelaburan berkualiti.
Bagaimanapun, laporan itu berkata, melalui strategi itu jumlah pelaburan yang diluluskan kepada industri pemangkin dan berpotensi tinggi telah meningkat, menyumbang sebanyak 31 peratus pada 2016.
Industri ini termasuk elektrik dan elektronik, yang meningkat sebanyak 51 peratus; kimia dan produk kimia (17 peratus); peranti perubatan (16 peratus); aeroangkasa (8.0 peratus); dan jentera dan kelengkapan (8.0 peratus).
Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), laporan itu berkata, Malaysia berjaya menarik aliran masuk bersih yang sederhana, mencakupi 22.9 peratus daripada jumlah pelaburan swasta antara 2011 dan 2016 (2005-2010: 25.5 peratus), terutamanya disebabkan oleh perubahan profil pelaburan.
Menurut laporan itu, dengan pelaksanaan ETP, lebih banyak pelaburan disalurkan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi yang kurang berintensifkan buruh.
Di samping itu, peningkatan persaingan bagi menarik FDI dari negara yang berkembang pesat, terutama dengan negara kos buruh yang rendah seperti China dan Vietnam, turut menyumbang kepada aliran masuk bersih yang sederhana.
“Menyedari kepentingan pelaburan swasta, kerajaan terus berusaha menambah baik persekitaran perniagaan agar dapat menarik dan meningkatkan perbelanjaan modal oleh sektor swasta.
“Usaha ini akan memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020 serta menggandakan ekonomi menjelang 2025,” menurut laporan itu. – BERNAMA

