PUTRAJAYA – Malaysia akan berunding tentang terma dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity untuk memulakan misi baharu mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang MH370.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata kerajaan Malaysia telah memberi kebenaran kepada Pasukan Respons MH370 untuk meneruskan rundingan tentang terma dan syarat dengan Ocean Infinity.
Azharuddin, yang mengetuai Pasukan Respons MH370 berkata, pasukan itu telah menerima beberapa cadangan daripada pihak berminat untuk mencari MH370 dan itu termasuk tawaran oleh Ocean Infinity atas dasar “No Cure No Fee”.
“Tawaran berkenaan telah dinilai secara terperinci oleh pasukan respons,” katanya dan menurutnya kerajaan Australia dan kerajaan China telah dimaklumkan berhubung perkembangan itu selaras dengan semangat kerjasama tiga pihak.
Azharuddin menegaskan pada peringkat ini, kerajaan Malaysia masih belum mencapai persetujuan dengan Ocean Infinity bagi pencarian MH370 seperti dilaporkan secara meluas oleh media baru-baru ini.
Sebaik sahaja rundingan selesai serta terma dan syaratnya dipersetujui dengan Ocean Infinity, katanya kerajaan Malaysia kemudiannya akan mendapatkan persetujuan daripada kerajaan Australia dan kerajaan China untuk melaksanakan misi mencari MH370 atas semangat kerjasama tiga pihak.
“Pengumuman rasmi kemudiannya akan dibuat berhubung perkara itu selepas semua waris dan keluarga semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370 dimaklumkan,” katanya.
MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Australia, China dan Malaysia, yang bersama-sama menyelaras dan membiayai operasi pencarian, pada Januari telah menangguhkan misi pencarian MH370 selepas tiada kesan pesawat Boeing 777 ditemukan di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. – BERNAMA