SEPANG – Juara baharu dunia Moto3, Joan Mir dijangka menguasai perlumbaan Moto3 Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2017 esok, selepas meraih petak pertama.
Pelumba dari Sepanyol yang mewakili pasukan Leopard Racing itu mencatatkan masa terpantas 2 minit 12.078 saat dalam sesi kelayakan hari ini, mendahului rakan senegara, Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini Moto3 (2:12.457s) manakala pelumba pasukan British Talent Team, John Mcphee (2:12.816s).
Ia adalah petak pertama sulung bagi musim ini yang diraih oleh pelumba berusia 20 tahun itu meskipun dinobatkan juara dunia selepas memenangi perlumbaan kesembilannya untuk musim ini di Phillip Island, Australia minggu lepas dengan 296 mata.
Pelumba Malaysia Adam Norrodin dari SIC Racing Team menduduki petak ke-15 dengan 2:13.847s manakala pelumba wildcard Kasma Daniel Kasmayudin yang mewakili Petronas Sprinta Racing meraih kedudukan ke-29 daripada 31 pelumba selepas mencatatkan 2:15.577s. – BERNAMA

