KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah bersiap siaga untuk menghadapi banjir yang dijangka berlaku mulai bulan ini hingga Disember.
Pengarahnya Nazili Mahmood berkata berikutan itu, seramai 1,127 pegawai dan anggota tetap serta sukarela telah dan sedang menjalani pelbagai latihan fizikal dan mental bagi menghadapi bencana tersebut.
“Kita tidak menolak untuk membekukan cuti pegawai dan anggota bomba jika banjir besar melanda negeri ini dan telah mengenal pasti kawasan yang sering terjejas banjir seperti Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
“Sebanyak 35 bot, tujuh lori dan sebuah bot amfibia juga diselenggara dari semasa ke semasa bagi memindahkan penduduk terjejas banjir ke pusat pemindahan banjir di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa jentera dan peralatan sebagai persiapan menghadapi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu di sini, hari ini.
Sabtu lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia diramal mengalami banjir besar bulan ini ekoran fasa perubahan tiupan monsun.
Wan Junaidi berkata taburan hujan yang meningkat merupakan amaran awal berlakunya fenomena itu yang diramal berlaku di seluruh rantau ini termasuk Indonesia dan Filipina.
Dalam perkembangan lain, Nazili berkata JBPM negeri mendaftarkan sebanyak 167 pusat tahfiz dan pondok persendirian di negeri ini dengan 37 daripadanya telah menjalani pemeriksaan terperinci sejak dua minggu lepas.
“Kesemua premis yang diperiksa setakat ini tidak mempunyai Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CFO) yang dikeluarkan oleh JBPM. – BERNAMA

