KUALA LUMPUR – Zon Perdagangan Bebas Cukai Digital (DFTZ) menarik penyertaan hampir 2,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya jumlah berkenaan melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 1,500 PKS menyertai zon berkenaan yang mula beroperasi Jumaat ini.
“PKS-PKS ini boleh mendapatkan pasaran global, terutama pasaran China yang merupakan pasaran yang besar,” katanya pada Dialog Daya eUsahawan TN50 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.
Sementara itu Yasmin berkata satu platform digital dibangunkan khas untuk DFTZ bagi memudahkan PKS mengeskport barangan mereka melalui DFTZ.
Katanya platform berkenaan akan mula beroperasi serentak dengan DFTZ, dan PKS yang terlibat telah pun diberi latihan.
Selain mengoptimumkan perdagangan melalui e-dagang, DFTZ juga menyasarkan untuk menggandakan perkembangan perdagangan rentas sempadan oleh PKS tempatan, katanya.
Mengenai eUsahawan, Yasmin berkata sejak diperkenalkan pada 2015, program kelolaan MDEC itu berjaya melatih lebih 100,000 peserta dan menghasilkan jualan tambahan bernilai lebih RM136 juta.
Menurutnya berdasarkan kejayaan itu, MDEC menyasarkan untuk menggandakan jumlah berkenaan tahun depan. – BERNAMA

