SANDAKAN – Belia dan beliawanis di negeri ini digalakkan untuk membina potensi dan minat dalam perniagaan untuk dijadikan sebagai kerjaya, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Zakaria Mohd Edris.
Beliau berkata mentaliti terhadap bidang kerjaya makan gaji perlu diubah kerana bidang perniagaan mampu memberikan pendapatan yang baik jika diusahakan dengan komitmen yang tinggi.
“Belia dan beliawanis yang mahu mendalami bidang perniagaan boleh mendapatkan bimbingan daripada institusi berkaitan untuk menjadi usahawan berjaya,” katanya ketika merasmikan ‘Kem Transformasi Minda Belia’ di sini, hari ini.
Seramai 58 belia dan beliawanis menyertai kem dua hari itu anjuran Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah.
Pengurus Akademi Minda Malaysia Mohd Seidzam Mohd Syam berkata menerusi kem itu, peserta didedahkan dengan asas memulakan perniagaan dan pemantapan bagi mereka yang sudah memulakan perniagaan.
Katanya peserta juga diperkenalkan dengan wakil institusi penyedia pinjaman kewangan untuk mendapatkan modal bagi memulakan atau memantapkan perniagaan mereka. – BERNAMA