KEINGINAN pelakon, Ruhainies untuk rakam video dalam gerakan perlahan (slow motion) tidak berjaya apabila kakinya terpijak akar pokok yang menyebabkan dia jatuh tersungkur.
Menerusi video yang dikongsi di laman Instagramnya, pelakon berusia 25 tahun itu dilihat sedang berlari di sebuah ladang teh dan tiba-tiba jatuh tersungkur hingga menyebabkan lututnya luka.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata video berkenaan dirakam secara tidak sengaja oleh adik lelakinya.
“Saya nak buat video berlari dalam gerakan perlahan. Masa saya lari itu tak nampak ada akar pokok dan menyebabkan kaki tersandung lalu jatuh.
“Video itu diambil memang secara spontan oleh adik saya. Memang menjadi bahan gelak adik-beradik,” katanya dipetik mStar Online.
Tambah pelakon ini lagi, video itu dirakam ketika mereka sekeluarga singgah sebentar ke ladang teh di Cameron Highland, Pahang sebelum bertolak ke Pulau Pinang untuk bercuti.
“Masa itu saya dan keluarga singgah ke ladang teh di Cameron Highland sebelum kami bertolak ke Pulau Pinang untuk bercuti.
“Tak sangka video itu akhirnya menjadi bahan hiburan di Instagram,” ujarnya dengan nada ketawa.
Video yang mendapat lebih daripada 50,000 tontonan itu telah menarik perhatian ramai dan menerima pelbagai reaksi daripada para pengikutnya di laman berkenaan.
Rata-rata antara mereka terhibur dengan telatah comel dan loghat utara yang digunakan oleh pelakon berkenaan.
Ruhainies merupakan nama yang tidak asing lagi di arena seni lakonan tanah air. Bakatnya mula dicungkil menerusi drama bersiri rantaian, Hello Mr. Perfect di samping aktor kacak, Fattah Amin. – MYNEWSHUB.CC/AM