KUALA LUMPUR – DAP menyifatkan rakyat Johor sebagai bertuah kerana mempunyai sultan yang bersuara tentang kemajuan dan kemodenan apabila mengarahkan supaya operasi dobi khas untuk pelanggan beragama Islam di Muar, Johor ditamatkan segera.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, tanpa titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah pasti dobi khas untuk umat Islam sahaja akan terus dibenarkan beroperasi oleh kerajaan negeri.
“Bagaimana pula jika ia (dobi khas untuk umat Islam) berlaku di negeri lain dalam Malaysia? Bolehkah kita yakin bahawa kontroversi ini akan berakhir dengan cara yang sama (sultan atau raja mengarahkan operasi itu dihentikan)?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Nie Ching meminta supaya Akta Anti-Diskriminasi diwujudkan di Malaysia untuk menghalang perkara-perkara seperti dobi khas untuk pelanggan beragama Islam berulang di negara ini.
Kata beliau, perkara itu penting untuk menangani segala bentuk diskriminasi seperti ekstremisme agama seperti dobi khas untuk umat Islam dan menangani diskriminasi jantina serta diskriminasi berdasarkan kaum.
Tambah beliau, prinsip kesaksamaan antara kaum dan agama di negara ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Media melaporkan, Sultan Johor mengarahkan supaya operasi dobi khas untuk pelanggan beragama Islam di Muar ditamatkan segera atau berdepan tindakan ditutup oleh baginda sendiri.
Titah baginda, Johor adalah negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama dan Johor adalah negeri pprogresif, moden dan bersederhana.
“Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis.
“Beta mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor mahukan,” titah baginda.
Gambar dobi mesra Muslim itu tular minggu lalu apabila dilaporkan hanya pelanggan Islam dibenarkan menggunakan mesin pencuci pakaian di premis itu hingga menimbulkan kemarahan orang ramai terutama bukan Islam.
Pemilik dobi itu bagaimanapun menjelaskan dia menawarkan perkhidmatan khas tersebut bagi mengelakkan pakaian yang terkena najis mughallazah di basuh di dobi berkenaan sekali gus menjamin kesucian pakaian umat Islam yang dibasuh di dobi tersebut. – MYNEWSHUB.CC

