KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat menjaga kesihatan dalam usaha menjadi masyarakat bermentaliti kelas pertama dan responsif terhadap persekitaran serta kesejahteraan hidup.
Titah baginda golongan yang sihat fizikal dan mental akan terkedepan berbanding golongan yang tidak aktif dan cergas.
“Beta berharap rakyat Perlis khususnya beriadah secara konsisten dan mengamalkan gaya hidup sihat,” titah baginda semasa merasmikan program”Kayuhan Gemilang Sehati Sejiwa 2017′ anjuran Pejabat Parlimen Kangar sempena Hari kebangsaan 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di sini, Isnin malam.
Keberangkatan tiba baginda sebelum itu disambut oleh Anggota Parlimen Kangar Ir. Shaharuddin Ismail.
Program itu yang disertai 50 orang daripada pelbagai latar belakang termasuk ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan SK Sena.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah aspek kebersihan diri dan persekitaran, pemakanan sihat termasuk tidak merokok dan meminum minuman keras serta menjauhi budaya yang melalaikan serta mendekatkan diri kepada agama hendaklah dijadikan amalan hidup.
Sementara itu, baginda turut mahu usaha pembanterasan jenayah serta penagihan dadah dan air ketum diperhebat. Ini susulan penangkapan 580 penagih dadah serta 106 individu bersabit daun ketum di kawasan Parlimen Kangar selain turut merekodkan 66 kes kecurian motosikal bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Sempena program itu Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan kepada 50 warga emas dan pesara serta golongan miskin dalam kawasan Parlimen Kangar. – BERNAMA