SUBANG – Datuk Seri Najib Razak melepaskan sebuah pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pasukan tinjauan misi kemanusiaan Rohingya di Pangkalan Udara Subang di sini, Sabtu.
Pesawat berkenaan yang berlepas ke Chittagong, Bangladesh bagi melaksanakan misi tinjauan yang disertai enam pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang pegawai Kementerian Pertahanan serta seorang wakil dari iM4U.
Pelepasan misi tinjauan itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Md Shahidul Islam; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Misi berkenaan diketuai Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamad Adib Abdul Samad.
Terdahulu, sebelum pelepasan, Najib sempat meluangkan masa hampir 20 minit berjumpa pasukan peninjau dan memeriksa barangan misi bantuan ke Bangladesh.
Sebanyak 12 tan barangan makanan sumbangan iM4U turut dibawa di dalam misi kemanusiaan berkenaan termasuk lampin pakai buang, beras dan biskut.
Semalam, Najib di dalam kenyataan mengumumkan Malaysia akan melaksanakan ‘Misi Kemanusiaan untuk Rohingya’ iaitu misi bantuan bersepadu bagi membekalkan keperluan dan bantuan segera kepada pelarian yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.
Menurut kenyataan itu, misi yang diketuai ATM yang mendukung semangat ‘Negaraku Prihatin’ adalah manifestasi bantahan Malaysia sekeras-kerasnya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya.
“Misi yang disokong badan sukarelawan iM4U ini sudah memulakan operasi dan bersedia bertolak Sabtu ini (hari ini) bagi meninjau serta menilai keadaan sebenar di kem pelarian terbabit.
“Ia seterusnya bakal menyaksikan penghantaran bantuan keperluan yang diuruskan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines dan akan diedarkan pasukan sukarelawan rakyat Malaysia yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air,” kata kenyataan itu.
Selain Chittagong, Malaysia akan menghantar sebuah lagi pesawat komersial ke Dhaka, Bangladesh pada malam ini bagi menjalankan misi tinjauan sama.
Ia akan disertai empat pegawai ATM diketuai Ketua Staf Markas ATM, Datuk Abdul Halim Jalal.
Misi tinjauan itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar dan mengenal pasti bentuk bantuan kemanusiaan yang mampu disediakan Kementerian Pertahanan dan ATM.
Tinjauan yang akan dilaksanakan antaranya membabitkan rancangan penempatan kontinjen ATM dan bentuk bantuan fizikal diperlukan Kerajaan Bangladesh. – BH Online/HAA

