KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan peguamnya mengeluarkan notis tuntutan kepada akhbar Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita beliau membenarkan pesta arak diadakan di Selangor.
Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, Mohamed Azmin menuntut Utusan Malaysia menarik balik berita itu tanpa syarat, membuat permohonan maaf secara terbuka dan ganti rugi.
Kata Shao Loong, Menteri Besar Selangor menafikan beliau memberi kelulusan pesta arak diadakan di Selangor selepas ia dilarang diadakan di ibu negara sekali gus mengabaikan nasihat polis berhubung penganjuran acara itu.
“Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor dalam komen awalnya, sebarang keputusan (pesta arak di Selangor) adalah dibawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mesti mengikut semua peraturan yang ditetapkan. Beliau tidak mahu mendahului PBT dalam hal itu,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shao Loong bagaimanapun mengakui Mohamed Azmin dalam komen awalnya turut menyatakan pendirian kerajaan Selangor iaitu bukan sahaja semua pihak perlu menghormati hak bangsa dan agama lain, malah perlu melindungi kepentingan mereka di Selangor.
Utusan Malaysia Online semalam melaporkan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan menghalang jika pesta arak Better Beer Festival 2017 mahu diadakan di Selangor selepas pesta itu tidak dibenarkan diadakan di Kuala Lumpur sejajar dengan prinsip kerajaan PKR Selangor iaitu menghormati hak kaum dan agama lain.
Mohamed Azmin bagaimanapun dilaporkan turut berkata, penganjur pesta arak itu perlulah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri atau PBT.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan sahaja kita kena hormat tetapi kita kena menjamin dan memelihara hak kaum dan agama yang lain.
“Namun, pada masa sama peraturan mestilah dipatuhi, itu pendekatan yang kita ambil,” kata Mohamed Azmin seperti dilaporkan Utusan Malaysia Online.
Pada Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta berkenaan atas sebab keselamatan selain ia bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.
Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza dari 43 kilang arak seluruh dunia.
Utusan Malaysia Online seterusnya melaporkan Mohamed Azmin memberitahu beliau tidak mengetahui sama ada penganjur Better Beer Festival 2017 telah membuat permohonan untuk mengadakan pesta arak itu di Selangor atau tidak. – MYNEWSHUB.CC
