KUALA LUMPUR – Keterujaan kerajaan mengumumkan kemiskinan di Selangor telah dinoktahkan dan mencapai peratusan sifar adalah tidak tepat serta memperlihatkan sifat ‘denial syndrome’ (sindrom penafian)
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengumuman itu malah bercanggah dengan titah Sultan Selangor berhubung isu kemiskinan di negeri itu.
“Merujuk data Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2025, baginda menegaskan bahawa masih terdapat pertambahan kemiskinan
baharu di Selangor iaitu seramai 14,000 keluarga fakir dan miskin.
“Realiti ini tidak selari dengan maklum balas Menteri Besar Selangor kepada Perdana Menteri minggu lalu bahawa kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata, data pentadbiran dari Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan bahawa masih ramai rakyat yang hidup susah dan miskin tegar.
Kata beliau, pada tahun 2024 terdapat 21,997 ketua isi rumah berdaftar dengan eKasih menunjukkan masih ramai keluarga di Selangor hidup susah.
Beliau berkata, bilangan itu bertambah berbanding tahun 2023 (17,485
ketua isi rumah) dan bilangan penerima bantuan kewangan JKM di Selangor juga masih ramai iaitu 59,731 orang pada tahun 2024.
“Adakah ini menunjukkan sudah tiada orang miskin di Selangor,” katanya. – MYNEWSHUB

