Sample Page Title

ALKISAH Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian mega dialami Bank Negara Malaysia (BNM) susulan urus niaga mata wang asing (forex) sekitar awal 1990-an makin panas!

Ramai dilaporkan terperanjat apabila panel RCI dimaklumkan bahawa Mahathir Mohamad, yang ketika itu ialah perdana menteri, konon ‘bisu’ tidak melakukan apa-apa pun selepas tahu mengenai kerugian besar tersebut.

Ia didedahkan oleh Anwar Ibrahim ketika beliau dipanggil sebagai saksi ke-21 oleh suruhanjaya berkenaan. Ketika itu Anwar ialah Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan di bawah era pentadbiran Mahathir.

Amat mengejutkan dan lebih melucukan kerana sebagai perdana menteri, Mahathir tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan waima sudah dimaklumkan mengenai kerugian akibat transaksi forex oleh BNM ketika itu.

Sebagai seorang amat berkuasa di Malaysia waktu itu, tidakkah beliau melihat angka kerugian hingga cecah RM31.5 bilion itu sebagai mana diakui sendiri bekas Gabenor BNM, Zeti Akhtar Aziz sebagai sesuatu yang amat besar?

Ini peliknya dan mungkin agak lawak kerana Mahathir ‘bising’ dalam isu derma RM2.6 bilion oleh Raja Arab Saudi, tiba-tiba semacam tidak kisah dengan nilai kerugian terbesar dalam sejarah dunia yang dialami BNM ketika itu.

Individu yang memaklumkan kepada beliau pula, bukan calang-calang orang sebaliknya ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Clifford Francis Herbert dan sudah tentu tahu apa berlaku dalam kes berkenaan.

“Selepas diberi penerangan terperinci, Mahathir hanya menjawab kadang-kadang kita mungkin untung, kadang-kadang kita juga mungkin rugi,” kata Herbert ketika memberikan keterangan kepada panel RCI tersebut.

Ketika ditanya mengenai reaksi Mahathir, Herbert menjawab, beliau menjangkakan perdana menteri terbabit akan berang. Sebaliknya sangkaan Herbert salah kerana Mahathir kelihatan agak normal. Buat tidak kisah pun.

Dalam kes kerugian besar forex ini, Mahathir boleh diam diri tetapi dalam kes 1MDB, beliau begitu beria-ia sekali hingga sanggup ‘cium’ pembangkang semata-mata kerana mahu menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sanggup fitnah tuduh orang konon curi duit rakyat dan macam-macam lagi terutama dakwa 1MDB berhutang lah dan Malaysia sudah bankrap lah. Zaman dia, boleh pula lesap sampai RM32 billion, dia hanya buat bodoh sahaja!

Mahathir tidak arahkan pun untuk hentikan urus niaga mata wang itu biarpun dimaklumkan ia jelas rugi puluhan bilion RM. Sudah dua kali Mahathir datang ke RCI ini, termasuk semalam ketika Anwar memberikan keterangan.

Mungkin beliau mahu mendengar dan memantau apa yang diperkatakan oleh mulut Anwar sendiri sebab selepas ini, kemungkinan besar Mahathir pula tentu akan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada RCI.


Tetapi apa yang nyata, sepanjang RCI ini diadakan yang bermula pada 21 Ogos lalu, banyak perkara pelik dan memeranjatkan telah didedahkan oleh ramai saksi termasuk wakil dari Jabatan Audit Negara, P. Kanason.

Dia mendakwa bahawa bekas Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Ainum Mohamad Saaid pada suatu ketika telah memberitahunya sendiri melalui panggilan telefon: “Orang Atasan Cakap Jangan Masuk Campur!”

Siapa orang atasan itu? Siapa yang arah agar tulis rugi hanya RM5.7 bilion bukannya RM32 bilion? Meskipun Ainum ketika beri keterangan menyatakan tidak ingat pernah cakap berkenaan, tetapi ia masih mencetuskan tanda tanya.

Begitu juga dengan kenyataan daripada pengurus Jabatan Akaun BNM, Saleha Lajim. Pada 1993, kerugian itu lebih RM5.7 bilion akibat urus niaga forex tetapi tidak pula dinyatakan BNM dalam penyata kewangan tahunan 1993.

Ia sebaliknya dikategorikan sebagai perbelanjaan tertunda. Dalam mesyuarat mingguan yang diadakan, Saleha memberitahu Timbalan Gabenor ketika itu, Tan Sri Dr Lin See Yan telah memberikan arahan lisan kepadanya.

Ia untuk membuat pengubahsuaian pada penyata kewangan yang akan dikeluarkan. Sekali lagi timbul persoalan, siapakah individu yang tergamak beri arahan agar status untung rugi itu ditukar? RCI kini semakin panas.

Begitu juga agaknya dengan Mahathir. Beliau juga mungkin panas punggung kerana akan dipanggil memberikan keterangan selepas ini. Ramai yang ingin tahu kenapa Mahathir seolah lepas tangan dan tidak berbuat apa-apa.

Untuk rekod, pada 24 September 2012, dalam The Edge Markets, Anwar kata Daim dan Mahathir yang “approved” urus niaga forex di BNM pada waktu itu. Semalam, Anwar pusing cerita lain kata Mahathir hanya dengar sahaja.

Apakah sudah jadi? Anwar sudah mula kelentong kerana hendak selamatkan Mahathir. Namun, semua orang kini sudah ketahui bahawa Mahathir memang mengetahui urus niaga mata wang itu rugi puluhan bilion ringgit.

Kenapa dia tidak hentikan walhal ia telah dimaklumkan mengenai kerugian besar dialami BNM akibat aktiviti forex. Kenapa pedagang forex Yahudi, George Soros pula yang hendak dipersalahkan? – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kategori

Artikel Berkaitan

Terkini

Buat Semakan Awal Sekatan LHDNM Elak Kesulitan Ke Luar Negara

Ramai rakyat Malaysia yang berkemampuan tentunya berasa teruja dapat kembali melancong ke luar negara...

HFMD: Kes Baharu Turun 35.9 Peratus

SUNGAI PETANI – Kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini...

Sri Lanka Terpaksa Tutup Sekolah, Kerja Dari Rumah Jimatkan Petrol

COLOMBO: Krisis ekonomi di Sri Lanka semakin meruncing apabila pihak kerajaan mengambil keputusan menutup...

Zahid Tidak Puas Hati Sebab Tidak Dapat Jawatan PM

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul...

Filem Mat Kilau Atasi Jurassic World, Top Gun Maverick

Kuala Lumpur: GSC Cinemas mengumumkan filem Mat Kilau mencatat RM12.2 juta pada hari keempat...

Bangkai Kapal Perang AS Ditemui Selepas 80 Tahun Tenggelam

MANILA – Bangkai sebuah kapal Amerika Syarikat (AS) yang tenggelam pada kedalaman paling jauh...

14 Jemaah Haji Indonesia Meninggal Dunia

JAKARTA: Seramai 14 jemaah haji Indonesia dilaporkan meninggal dunia di Arab Saudi.Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, InstagramJurucakap Panitia...