NAYA…seorang isteri terpaksa diselamatkan selepas ibu bapa mertuanya sanggup terbang sejauh 8,000 batu dari India ke Florida semata-mata untuk memukul menantu mereka kerana tidak `patuh’ kepada suaminya.
Silky Gaind, 33, ditemui berdarah selepas dipukul di rumahnya di Riverview. Mertuanya, Jasbir, 67 dan Bhupinder Kalsi, 61, sanggup datang dari India semata-mata kerana mahu `menyekolahkan’ menantu mereka selain mengajarnya mengenai disiplin sebagai isteri kepada anak mereka, Devbir.
Selepas dipukul, Silky telah menghubungi ibu bapanya di India dan memaklumkan dia ditahan di rumahnya bersama anak perempuan mereka yang berusia setahun.
Ibu bapa Silky kemudiannya menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penderaan itu. Ketika polis tiba pada pukul 6.30 pagi, mereka mendapati pintu rumah itu telah disekat dan mendengar jeritan mangsa.
Polis terpaksa memecahkan pintu. Menurut polis, Devbir telah memukul isterinya dan ketika wanita itu cuba mempertahankan diri, dia telah dipukul oleh mertuanya menyebabkan badannya penuh lebam dan bengkak.
Anak perempuan Silky turut dipukul dan ibu mertuanya mengancam untuk menikam menantunya itu dengan pisau dapur.
Susulan itu suami Silky berserta mertuanya telah ditahan. – MYNEWSHUB.CC