Sample Page Title

MELAKA – Polis telah memanggil syarikat pemilik tong berisi klorin yang dibuang di Kampung Tambak Paya di sini bagi membantu siasatan kejadian kebocoran gas klorin sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk kampung dipindahkan malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata syarikat tempatan itu telah dikenal pasti identitinya melalui nombor siri yang terdapat pada tujuh tong berkenaan, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti syarikat berkenaan kerana kes masih dalam siasatan.

“Siasatan (bagi mengenal pasti) sama ada ia (tong itu) dibuang syarikat tersebut atau syarikat yang diberi tanggungjawab untuk melupuskan bahan kimia ini, yang dipercayai asid klorin mampat yang digunakan dalam industri berkaitan air.

“Sepatutnya bahan kimia berkenaan dilupuskan di tempat pelupusan yang dikhaskan iaitu di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dengan kaedah yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Remaja Berwawasan (Summer Camp) Siri 13 Tahun 2017 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Semalam, penduduk kampung itu terpaksa dipindahkan setelah satu daripada tujuh tong berisi klorin itu bocor menyebabkan gas klorin merebak sekitar lingkungan 1km kampung itu dan setakat pagi tadi, 40 orang masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka serta Jasin.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada tiga saksi yang melihat kejadian dua individu memunggah keluar tong berkenaan daripada sebuah lori di kawasan tersebut sebelum melarikan diri antara pukul 2 hingga 5 petang semalam.

“Saksi melihat satu daripada tong berkenaan mengeluarkan asap kuning sebelum mereka mengalami sesak nafas dan muntah. Mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun itu turut dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di zon kuning bagi mendapatkan rawatan,” katanya.


Beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengesan dua individu dan lori yang digunakan dalam kejadian pembuangan sisa kimia tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 269/270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai atau jahat yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Katanya pihak industri atau syarikat yang mempunyai kaitan dengan penggunaan bahan kimia digesa memastikan kaedah pelupusan atau pemusnahan bahan tersebut dilakukan dengan betul dan di kawasan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata semua 60 penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Tampak Paya semalam kini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah kawasan terjejas diisytiharkan selamat oleh Jabatan Kimia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Tinjauan Bernama di kawasan tapak pembuangan tujuh tong klorin itu tengah hari tadi mendapati pihak polis dan bomba masih memantau rapat tempat kejadian, namun kawasan larangan masuk telah dikecilkan.

Hujan lebat pagi tadi juga membantu mengurangkan kandungan gas klorin di udara apabila wartawan Bernama di kawasan kejadian mendapati tiada lagi bau gas klorin tengah hari tadi, berbanding bau gas yang agak kuat sekitar malam tadi. – BERNAMA

Kategori

Artikel Berkaitan

Terkini

Lesen Untuk Penunggang P-Hailing Berbeza Daripada GDL

Lesen vokasional khas yang perlu diambil oleh penunggang perkhidmatan p-hailing tidak sama seperti lesen...

Lantikan S Gobi Krishnan Dibatalkan – Shahidan

KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membatalkan pelantikan S...

Puspakom Sedia Tambah Baik Pemeriksaan Kenderaan Berat

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bersedia untuk memberikan kerjasama penuh terhadap...

Skandal LCS: Fail Dibuka, Laporan Siasatan Akan Diumum SPRM

SUBANG JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa fail telah...

Pemandu Lelaki Cedera Dipukul Selepas Langgar Pagar Rumah, Kereta

Kulai : Seorang pemandu pacuan empat roda cedera dipukul orang awam selepas dia bertindak...

Harga Petrol RON97 RM4.40, Turun 10 Sen

PUTRAJAYA : Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 10 sen kepada paras RM4.40 seliter...

Hishammuddin Digesa Jelaskan Isu LCS Di Dewan Negara

Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini mendesak Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi penjelasan...