KUALA TERENGGANU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan notis larangan kerja di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) susulan insiden kebocoran gas, semalam.
Notis melarang semua aktiviti pembinaan serta kerja di kawasan insiden di Seksyen 5, Kerteh, Kemaman, di sini, dikeluarkan hari ini dan berkuat kuasa sehingga keadaan disahkan selamat.
Pengarah JKKP Terengganu, Ir Noorazman Soud, berkata Petronas Gas Berhad (PGB) dan syarikat yang terbabit dalam projek itu juga sudah diarah menyediakan laporan lengkap hasil siasatan insiden berkenaan.
“JKKP negeri sudah menghantar pasukan penyiasat ke lokasi insiden. Kita akan menjalankan siasatan secara lengkap dan tindakan perundangan akan dikenakan jika siasatan mendapati terdapat pelanggaran atau kecuaian,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya, penutupan dan larangan aktiviti itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari dan JKKP juga mengisytiharkan kawasan insiden sebagai zon larangan masuk dengan kawalan keselamatan 24 jam dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang awam dilarang sama sekali mendekati lokasi insiden bagi mengelak risiko keselamatan. Insiden disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Kebocoran paip gas di tapak projek ECRL di Kerteh itu dilaporkan kepada polis pada jam 9.53 pagi semalam.
Ia membabitkan gas jenis butane yang dikenal pasti mudah terbakar dan boleh melangkau sejauh kira-kira dua kilometer daripada laluan utama, namun insiden semalam tidak membabitkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
Noorazman berkata, insiden itu disedari pekerja di tapak pembinaan selepas melihat asap putih di kawasan tapak projek, kira-kira jam 9.49 pagi.
“Siasatan awal mendapati PGB segera mengambil tindakan kecemasan membunyikan siren kecemasan dan mengarahkan semua pekerja mengosongkan kawasan. PGB segera menutup dua injap utama untuk kawal kebocoran dan sedang melakukan kerja pengosongan gas daripada paip,” katanya.
BHonline-


