KUALA BERANG – Berkat usaha yang tidak jemu menambah pengetahuan terhadap perusahaan madu kelulut akhirnya menjadikan Nor Hamizah Mohd Nor, 42, peserta terbaik Kursus Usahawan Produk Madu Kelulut Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).
Meskipun dilingkari masalah perceraian dengan bekas suaminya, ia tidak melunturkan semangat ibu kepada empat cahaya mata itu untuk menyertai kursus berkenaan demi meningkatkan mutu pengeluaran madu kelulut yang telah diusahakan sendiri sejak empat tahun lepas.
“Syukur alhamdulillah dengan rezeki yang diberikan…ia sedikit sebanyak meningkatkan motivasi diri saya untuk terus kuat kerana melalui kelulut ini jugalah punca rezeki utama kami anak-beranak setelah bercerai dengan suami tujuh tahun lepas.
“Penceraian dengan suami cukup memberi kesan untuk saya membesarkan anak kerana suami saya seorang penagih dadah…cukup 17 tahun saya hidup dengannya saya cuba bangkit sendiri dan alhamdulillah saya ada di sini dengan perusahaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penutup Kursus Usahawan Produk Madu Kelulut YDSM dengan kerjasama ExxonMobil di Taman Pertanian Sekayu, di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof.
Kursus penternakan lebah kelulut yang pertama kali diadakan adalah untuk meningkatkan sosioekonomi ibu tunggal, pengetahuan dan kemahiran dalam penternakan lebah kelulut serta penghasilan madunya.
Sebanyak RM70,000 disediakan oleh YDSM bagi 27 ibu tunggal yang menyertai program itu yang mana RM52,000 diperuntukkan untuk kursus yang berjalan selama tiga hari dua malam itu.
Nor Hamizah yang berasal dari Kampung Binjai, Kemaman pada mulanya belajar mengenai cara menternak lebah kelulut di Perak lima tahun dahulu sebelum mengusahanya sendiri.
“Melalui pengetahuan yang ada…saya mula berjinak-jinak dalam bidang ini dan membeli sarang kelulut sedikit demi sedikit dan diletakkan di kawasan rumah kerana bela kelulut ini tidak susah…cuma kita hanya perlu menyediakan bunga untuk hasilkan makanan ataupun nektar untuk lebah ini menghasilkan madu.
“Hasil daripada kelulut itu juga, saya turut mengajar membuat sabun dan dipasarkan di bawah nama Is Madu Enterprise… Alhamduliilah berkat cekal dan tabah saya hari ini sudah mempunyai 30 sarang kelulut dan mendapat hasil bersih lebih RM3,000 sebulan,” katanya lagi.
Program usahasama YDSM bersama ExxonMobil telah dijalankan bermula tahun 2008 yang mana mereka telah menjalankan program perternakan cendawan di bawah program ExxonMobil Women Economic Opportunity Innitiave.
Program tersebut berjaya mengumpul 250 ibu tunggal daripada keluarga yang susah di seluruh negeri Terengganu untuk menternak cendawan di samping memberi pengetahuan tentang ilmu mengurus perniagaan. – BERNAMA