TAMPIN – Tiga individu yang dikenali sebagai ‘Geng Tampin Square’ dipercayai terlibat aktif dalam kes pecah kedai di kawasan berkenaan melibatkan kerugian RM61,000, ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata ketiga-tiga suspek itu ditangkap di sebuah rumah yang disewa mereka di Kampung Pondoi, di sini dalam keadaaan khayal kerana disyaki mengambil dadah jenis syabu.
“Dengan penangkapan ini pihak kami telah berjaya menyelesaikan lima kes pecah kedai yang berlaku dari bulan Mac hingga Julai lepas iaitu tiga kes di lot kedai dalam Tampin Square, satu kedai runcit di Taman Indah dan sebuah syarikat makanan Jati Frozen di sini.
“Kerugian termasuk wang tunai, peralatan elektronik, kad prabayar dan juga rokok,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 28 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau serta terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.
“Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini bagi tindakan lanjut.
“Dalam serbuan itu, beberapa barang curi telah dirampas seperti gajet serta alat elektronik, peralatan memecah rumah, alat binaan rumah, kad prabayar dan kereta kawalan jauh namun wang tunai tidak dijumpai, disyaki digunakan untuk membeli dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, katanya.
Mengulas lanjut, Hamazah berkata kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun kerana suspek memiliki kerambit. – BERNAMA

