JAKARTA – Konsep pemikiran kesederhanaan dalam Islam atau wasatiyyah yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipopularkan di Indonesia menerusi sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia-Indonesia yang dikenali sebagai Nusasentris.
Ketua Nusasentris Malaysia, Budiman Mohamad Zohdi berkata, NGO itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dan sebagai permulaan, Nusasentris melancarkan buku “Wasatiyyah: Idea dan Realitis” yang ditulis oleh Najib.
Buku itu dialih bahasa dalam bahasa Indonesia terbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan sebuah syarikat penerbitan Indonesia Penerbit Penjuru Ilmu.
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sempena Pameran Buku Antarabangsa Indonesia yang berlangsung di sini hari ini.
Budiman yang juga Pengerusi ITBM berkata selain penerbitan buku bersama, Nusasentris juga akan mempergiat aktiviti sosial dalam kalangan anak-anak muda dari kedua-dua buah negara.
Ketua Nusasentris Indonesia, Ahmad Doli Kurnia pula berkata pihaknya akan mengajak ramai anak muda supaya lebih mengutamakan perpaduan dan menghargai persamaan yang terdapat antara rakyat Malaysia dengan Indonesia.
“Kita akan membuat program-program yang melibatkan pemuda untuk mengembangkan kebudayaan-kebudayaan, bidang pendidikan dan sosial. Salah satu tombak awalnya adalah melalui buku tentang wasatiyyah,” katanya.
Beliau berkata adalah penting bagi bagi kedua-dua buah negara mengeratkan hubungan antara rakyat terutama dalam kalangan anak-anak muda selain hubungan antara pemerintah dan swasta dengan swasta.
“Jadi nanti kita akan terbitkan beberapa pemikiran yang menyamakan pandangan-pandangan masyarakat Indonesia dengan Malaysia. Itu saya kira yang ke depan kita akan membentuk masyarakat Nusasentris,” katanya.
Sementara itu, Reezal berkata konsep wasatiyyah yang dikembangkan oleh perdana menteri, bukan sekadar kesederhanaan tetapi ia merangkumi kualiti keseimbangan, kualiti tawazuk dan kualiti kecemerlangan.
“Kita adalah umat yang terbaik dan untuk menjadi umat yang terbaik ini, kualitinya ialah kualiti yang ada dalam wasatiyyah,” katanya.
Beliau juga berkata penerbitan buku Wasatiyyah dalam bahasa Indonesia akan memberi peluang kepada rakyat negara ini memahaminya secara lebih mudah dan menjadi tonggak mengeratkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara. – BERNAMA/HAA

