JAKARTA – Keganasan yang kembali dialami etnik Rohingya di Myanmar semakin membimbangkan seluruh masyarakat dunia apatah lagi negara-negara Islam serantau dan Asia Barat sendiri.
Lebih dikesalkan apabila pemimpin tertinggi Myanmar, Aung San Suu Kyi langsung tidak berbuat apa-apa walhal aktivis wanita ini pernah menerima Anugerah Nobel Keamanan pada 1991 lalu hasil sokongan dunia Islam.
Perkara tersebut membuatkan Forum Zakat Sedunia (WZF) mengambil inisiatif untuk gembleng usaha pelbagai lembaga zakat dari 21 buah negara bagi membantu dalam meredakan konflik kemanusiaan terburuk di Myanmar.
“WZF sangat kesal dengan krisis kemanusiaan itu yang berdampak sangat buruk terutama etnik Muslim Rohingya,” kata Setiausaha Agung WZF, Prof. Dr. Bambang Sudibyo di gedung Badan Amil Zakat Nasional di sini semalam.
Beliau malah mengajak semua pihak untuk membuat langkah strategik yang dapat mengakhiri krisis di Myanmar selain mengadakan kerjasama bagi menyediakan bantuan terhadap para pelarian Rohingya di luar negara.
“Kerjasama ini juga termasuk menyediakan bantuan untuk para pelarian Rohingya yang tersebar di beberapa bahagian dunia apabila banyak negara dikatakan tidak mampu menanggung mereka,” ucap Bambang.
WZF pada ketika ini tengah menyusun kerangka aksi kemanusiaan untuk membantu mangsa krisis Rohingya. Badan itu merupakan forum yang dianggotai sejumlah lembaga zakat dari 21 buah negara termasuk Indonesia.
Turut terlibat ialah Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, India, Bangladesh, Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar, Turki, Bosnia Herzegovina, Britain, Mesir, Maghribi, Uganda, Sudan, Nigeria, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.
WZF yang diasaskan pada 2010 di Yogyakarta dekat sini sebagai badan perbincangan formal selepas Pertubuhan Zakat Antarabangsa ditubuhkan pada 2008 oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

