BATU PAHAT – Polis menahan tujuh remaja yang menunggang basikal lajak di beberapa jalan utama di bandar ini dalam Ops Basikal Lajak pada petang Jumaat.
Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahid Musa berkata, kesemua berusia 13 hingga 15 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang ketika melalui laluan utama Jalan Zabedah, Jalan Suasa dan Jalan Ungku Ahmad.
“Ketika membuat rondaan dan pemantauan, kelihatan satu kumpulan remaja bawah umur menunggang basikal lajak di laluan utama di bandar ini dan polis bertindak menahan mereka.
“Ini kerana berkemungkinan melakukan aksi-aksi berbahaya serta mengancam keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain. Kesemua remaja itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu pejabat Polis Batu Pahat.
“Manakala basikal mereka dirampas dan disita di bawah Seksyen 112(3) APJ 1987,” kata Abdul Wahid dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau seterusnya berkata, pihak polis turut memanggil ibu bapa atau penjaga remaja tersebut untuk sesi kaunseling. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA