ANKARA – Wanita ini pernah dihalau keluar dari bangunan Parlimen Turki di sini kerana berhijab waima dilucut hak kerakyatannya lebih 18 tahun lalu akibat tegar mempertahankan syiar Islam.
Kini, graduan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS) itu, Merve Safa Kavakçı bakal dilantik sebagai duta yang pertama negara tersebut memakai hijab, malahan ditauliahkan ke Malaysia, sebuah negara Islam contoh progresif.
Beliau mengambil alih jawatan ketua misi pejabat diplomatik Ankara di Kuala Lumpur itu daripada Başak Türkoğlu, juga seorang wanita namun tidak memakai hijab dan menjadi duta besar di ibu kota Malaysia tersebut sejak 2014.
Berita pelantikan Merve itu dilaporkan secara meluas oleh siaran antarabangsa berbahasa Inggeris 24 jam stesen penyiaran kebangsaan Turki, TRT World milik pemerintah yang berpangkalan di Istanbul pada Sabtu minggu lalu.
Ia turut melakar sejarah tersendiri buat Turki; sekali gus wanita berhijab yang kedua bertugas sebagai duta di Kuala Lumpur selepas Marzieh Afkham, apabila dilantik menjadi ketua perwakilan diplomatik Iran pada akhir 2015 lalu.
Diplomat berpengalaman negara Syiah itu, bahkan mencipta rekod sebagai wanita pertama Iran ditauliah menjadi duta sejak Revolusi Parsi 1979, yang menyaksikan penggulingan raja terakhirnya, Shah Mohammad Reza Pahlavi.
Baca: Kali Pertama Iran Mula Lantik Wanita Sebagai Duta

Namun berbeza dengan Iran melantik Marzieh yang sebelum itu berkhidmat sebagai jurucakap Kementerian Luar menjadi duta, Turki pula memilih Merve, seorang bekas ahli Parlimen Kebangsaan dan aktif dalam politik semasa.
Beliau pernah bertugas sebagai profesor Universiti George Washington dan Universiti Howard di AS sebelum pulang ke Turki untuk menjadi timbalan ketua Fazilet Partisi, sebuah badan siasah konservatif Islam pada 18 April 1999.
Pada 2 Mei 1999, Merve mencipta sejarah apabila masuk ke dewan perhimpunan kebangsaan Turki dengan berhijab untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen baharu selepas memenangi pilihan raya tempatan di Istanbul.
Beliau bagaimanapun diusir biadab oleh beberapa wakil Demokratik Sol Parti berhaluan liberal kiri dan kemudian dilucutkan kewarganegaraan pada Mac 2001 lalu atas alasan masih memegang status dwikerakyatan termasuk AS.
Merve yang memiliki dua anak perempuan, Fatima Abushanab, 21; dan Mariam Kavakçı, 20; terpaksa berhijrah ke AS selepas kalah pilihan raya dan partinya diisytiharkan haram oleh mahkamah perlembagaan Turki pada Jun 2001.
Baca: Turki Tarik Balik Larangan Hijab Tentera Wanita

Beliau yang pernah menjadi konsultan di Kongres AS dalam isu dunia Islam, kemudian membawa kes perlucutan taraf kewarganegaraan ke Mahkamah Hak Asasi Kesatuan Eropah pada 2007 dan akhirnya diumumkan menang.
Merupakan seorang hafiz al-Quran, wanita ini mendapat semula kerakyatan Turki menerusi satu keputusan Kabinet diterajui parti pemerintah Adalet ve Kalkınma Partisi (AKP) yang berhaluan Islam Neo-Uthmaniah pada Mei lalu.
AKP adalah pengganti Fazilet Partisi yang diketuai oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sendiri dan Perdana Menteri, Binali Yidlrim selepas menang besar dalam pilihan raya kebangsaan ke-15 pada 3 November 2002.
Pelantikan Merve, 48, dianggap bersejarah selepas negara itu merayakan ulang tahun pertama kegagalan rampasan kuasa oleh segelintir pihak tentera pro-sekular pengasas Turki moden, Mustafa Kemal Ataturk pada 15 Julai lalu.
Bapa Republik Turki selepas khalifah Uthmaniah lenyap pada 1922 itu tidak pernah ‘haram’ hijab, tetapi larangan bertudung diperkenalkan tentera sejak 1980 sebelum ditarik balik AKP pada 2013. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

