JOHOR BAHRU – Bagaikan pisang goreng panas, tiket wayang untuk menonton siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Thailand di TGV Cinemas Tebrau City, di sini, habis ditempah dalam tempoh 4 jam selepas diumumkan.
Siaran percuma dikendalikan oleh TGV Cinemas Sdn Bhd itu mula dipromosikan pukul 4 petang semalam melalui laman sosial syarikat berkenaan.
Penyelia TGV Cinemas Tebrau City, Mohamad Nor Asyraf Jawahil berkata tempahan ditutup pada 8 malam dengan lebih 70 peratus tempahan dilakukan melalui dalam talian dan kiosk yang disediakan.
“Sambutan yang diterima daripada orang ramai untuk menyaksikan tayangan ini amat menggalakkan. Untuk tayangan bola sepak malam ini, pihak kami menyediakan sebuah dewan yang menampung kapasiti penonton seramai 133 orang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad Nor Asyraf berkata tayangan terbabit merupakan satu daripada program Jom Bola yang diadakan oleh TGV Cinemas dan akan membuat siaran setiap perlawanan bola sepak yang diadakan.
“Kami juga ada menyediakan pas keahlian kepada pelanggan-pelanggan yang mahu menonton perlawanan bola sepak di skrin gergasi dan mereka hanya perlu membuat pendaftaran keahlian di TGV Cinemas,” katanya.
Selain TGV Cinemas Tebrau City, tayangan percuma perlawanan itu turut diadakan di TGV Cinemas 1 Utama, TGV Cinemas Sunway Pyramid, TGV Cinemas Seremban 2, TGV Cinemas Bukit Tinggi, TGV Cinemas AU2, TGV Cinemas Kinta City dan TGV Cinemas 1st Avenue.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor itu bermula 8.45 malam ini. Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir Sabtu lepas. – BERNAMA

