KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 2017 atau Akta 164 diluluskan di Dewan Rakyat tengah malam tadi.
Pada mulanya beberapa ahli parlimen dari PAS menuntut undian belah bahagi tetapi tidak mematuhi syarat yang memerlukan sekurang-kurangnya 15 wakil rakyat yang menyokong cadangan tersebut.
RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, diluluskan pada pukul 12.45 tengah malam selepas dibacakan kali ketiga serta dibahaskan lebih empat jam, bermula 8.30 malam.
Akta 164 bertujuan membantu golongan mualaf yang baharu memeluk agama Islam untuk memperoleh hak-hak mereka seperti tuntutan penjagaan anak serta harta pencarian ke atas perkahwinan sivil.
Sebelum diluluskan, perbahasan rang undang-undang itu mencetuskan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang terutama dari kalangan ahli-ahli parlimen DAP.
RUU yang dibentangkan Azalina itu antara lain tidak membenarkan pasangan yang sudah memeluk Islam untuk memfailkan petisyen bagi pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil
Selagi suami atau isteri bukan beragama Islam tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil, perkahwinan terdahulu mereka masih dianggap sah.
Terdahulu Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz menyarankan supaya sesi penerangan ke atas pindaan Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 2017 dilakukan kepada rakyat terutama bukan Islam bagi membolehkan mereka memahami pelaksanaan undang-undang berkenaan.
“Bagi saya ia mampu mengelak konflik mahkamah sivil dan mahkamah syariah, maka saya menyokong penuh hak seorang suami atau isteri yang memeluk Islam untuk memfailkan petisyen untuk membubarkan penceraiannya.
“Sebelum ini hak tidak diberikan kepada mereka, saya percaya melalui pindaan itu ia akan mengelakkan sebarang konflik memandangkan undang-undang sedia ada dilihat tidak adil untuk mereka yang baharu memeluk agama Islam,” kata wakil rakyat Barisan Nasional itu ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Rabu.
Pindaan ini adalah sebagai satu langkah untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit berhubung dengan pemelukan agama oleh salah seorang pasangan bukan Islam yang berkahwin di bawah undang-undang sivil, dan seterusnya menjaga kepentingan dan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.
Bagi Ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, pindaan ini memberikan peluang kepada individu yang memeluk Islam untuk memfailkan penceraian di mahkamah Sivil.
“Penceraian tersebut perlu dijelaskan sebagai bukti sekaligus boleh memohon beberapa hak-hak lain yang berkaitan seperti aset perkahwinan, nafkah dan hak penjagaan anak.
“Jika tidak, ianya akan menimbulkan ketidakadilan kepada mereka yang memeluk Islam,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali memberikan cadangan kepada kerajaan supaya perbahasan RUU ini ditangguhkan ke sesi parlimen akan datang.
Wakil rakyat PAS itu berkata kerajaan perlu menubuhkan tribunal serta membuat proses mediasi dan kajian semula bagi tujuan mengemaskini sebelum dibawa kembali untuk tujuan pindaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA