BESUT – Seorang petani bersama rakannya ditahan polis bersama dadah jenis heroin bernilai RM20,000 di sini.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam kejadian pukul 10 malam Ahad lepas, kedua-dua lelaki itu sedang dalam perjalanan dari Jalan Besar Pasir Putih menghala ke Jertih dengan sebuah kereta dipercayai untuk menemui pelanggan.
Katanya petani tersebut berusia 50 tahun manakala rakannya merupakan penganggur, berusia 38 tahun.
“Kedua-dua suspek ditahan bersama dadah dan sejumlah wang tunai berjumlah RM230. Kami percaya dadah tersebut untuk diedarkan kepada penagih di Besut dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Siasatan juga mendapati petani tersebut mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan dadah manakala rakannya mempunyai tiga rekod lampau sejak 2008 malah ujian air kencing mereka juga positif dadah.
Tambahnya, sehingga kini seramai 1,070 orang ditangkap atas kesalahan dadah iaitu 128 orang pengedar, 321 orang memiliki dadah dan 621 orang penagih. – BERNAMA