IPOH – Pengusaha pelancongan di Kuala Sepetang, Taiping diminta mengekalkan mutu perkhidmatan produk pelancongan walaupun kawasan itu telah diisytiharkan sebagai kawasan penyakit anjing gila pada 17 Julai lepas, kata Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri itu berkata langkah itu perlu diambil bagi memberi keyakinan kepada pelancong supaya mereka tidak berasa ragu-ragu untuk melakukan aktiviti pelancongan di kawasan itu.
Beliau berkata apabila sesuatu kawasan itu telah diwartakan sebagai kawasan rabies, pembatalan pewartaan itu hanya akan dilakukan jika tiada sebarang kes dikesan terhadap spesies haiwan dan manusia dalam tempoh dua tahun mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pada masa kini, sudah tentu Kuala Sepetang mengalami kemerosotan jumlah pelancong yang melawat di kawasan itu akibat pewartaan tersebut yang perlu dilakukan sebagai langkah menjaga keselamatan orang awam termasuk pelancong.
“Saya difahamkan ketika ini tidak ada kes rabies dilaporkan dan pengumuman dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan negeri dapat mengurangkan kebimbangan dan kegusaran pelancong yang ingin berkunjung ke Kuala Sepetang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia International Travel Mart (MITM) 2017 di sini hari ini.
Nolee Ashilin berkata pihaknya turut meminta pengusaha pelancong di Kuala Sepetang supaya bersabar berikutan kemerosotan pelancong di kawasan yang sering menjadi tumpuan dan merupakan sumber rezeki pengusaha pelancong di situ.
“Keadaan akan kembali normal seperti sedia kala walaupun ia akan mengambil sedikit masa untuk mengembalikan kepercayaan pelancong untuk berkunjung ke Kuala Sepetang,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata Mukim Matang yang menempatkan kawasan pelancongan Kuala Sepetang kini selamat dikunjungi oleh orang ramai.
Dr Mah berkata status kawasan tersebut telah diturunkan daripada peringkat Indeks Penyakit Wabak kepada Indeks Penyakit Kawalan berikutan sebanyak 43 sampel anjing yang diambil di kawasan itu sejak Julai hingga Ogos ini disahkan negatif rabies.
Pada 4 Julai lepas, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang digigit anjing perliharaan mereka sebelum haiwan itu mati lapan hari kemudian. – BERNAMA