SEREMBAN – Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya mengalami kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di KM 231.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Ayer Keroh menghala Senawang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Ibrahim Shariff berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Rahim Mohd Baron, 48, manakala kelindan dikenali sebagai Mohamad Rizal Shahari, 37 tahun.
Katanya kemalangan dipercayai berlaku apabila lori treler jenis Scania itu mengekori rapat belakang sebuah lori jenis Nissan UD yang membawa muatan kayu getah.
“Lori treler itu kemudiannya hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori yang berada di hadapannya itu.
“Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu treler dipercayai tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala kelindannya cedera parah di bahagian muka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Ibrahim berkata mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat manakala kelindan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut di zon kecemasan. – BERNAMA

