KUALA LUMPUR – Semua atlet negara dalam kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang dipercayai mengalami keracunan makanan kini berada dalam keadaan stabil.
Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dalam satu kenyataan media berkata, kesemua atlet terbabit sedang dipantau rapi pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Kesihatan.
“Pada masa ini sumber pencemaran atau keracunan makanan ini masih disiasat,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu MASOC memaklumkan menerima laporan mengenai insiden yang mungkin berpunca daripada keracunan makanan melibatkan beberapa atlet Malaysia yang menginap di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, MASOC sedang berbincang dengan pihak pengurusan hotel, Kementerian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta ISN untuk menyiasat kejadian itu.
“Pihak kami juga sedang memantau rapat insiden ini bagi memastikan penyediaan dan pengendalian makanan di Hotel Renaissance Kuala Lumpur mematuhi piawaian tertinggi.
“Status sama ada atlet yang terlibat mampu meneruskan perlawanan dalam acara masing-masing akan ditentukan oleh pasukan perubatan KL2017. Pihak kami akan memberikan maklumat terkini selepas laporan penuh diterima mengenai insiden itu,” kata MASOC. – MYNEWSHUB.CC

