KOTA TINGGI – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang hari ini melancarkan Ops Kejar bagi menangkap anjing liar yang berkeliaran sekitar kawasan berkenaan dalam usaha mencegah penularan penyakit rabies.
Setiausaha PBT Pengerang, Shamsulbahri Md Dali berkata pada operasi tersebut, seramai 35 anggota terdiri daripada pasukan vektor dan kontraktor ditugaskan untuk menjalankan operasi berkenaan.
Menurutnya, operasi yang membabitkan kawasan tumpuan umum dan yang mempunyai kepadatan warga asing yang berpotensi terdedahnya wabak tersebut, telah berjaya menangkap 10 ekor anjing liar.
“Operasi ini dilakukan rentetan daripada aduan yang diterima. Kita dalam tempoh sebulan menerima sebanyak 15 aduan daripada orang awam.
“Kehadiran haiwan ini bukanlah baru tetapi sudah ada sekian lama dan apabila PBT Pengerang diwujudkan, kita terus melakukan operasi,” katanya.
Shamsulbahri berkata PBT Pengerang melihat perkara ini serius dan komited melaksanakan pencegahan penyakit rabies.
Bagi pemilik yang mahu memelihara anjing juga, disarankan agar memohon lesen anjing kepada pihak PBT Pengerang supaya memastikan anjing dipelihara disuntik bagi mengelakkan jangkitan penyakit.
Selain itu, pemilik yang sudah memiliki lesen berkenaan perlulah memastikan anjing mereka diikat, tidak berkeliaran bagi mengelakkan dari dikompaun.
Beliau juga menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa berada di kawasan tumpuan umum dan segera membuat aduan kepada PBT Pengerang sekiranya terdapat anjing yang berkelakuan ganas dan membahayakan. – BERNAMA