MELAKA – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan di Jasin dan Alor Gajah menurun sedikit kepada 263 orang setakat 4 petang ini berbanding 265 orang tengah hari tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata daerah Jasin masih mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 176 orang daripada 43 keluarga, manakala di daerah Alor Gajah 87 orang daripada 21 keluarga.
“Di Jasin, seramai 104 orang melibatkan 26 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel; 37 orang daripada lapan keluarga di Balai Raya Seri Mendapat; dan 35 orang daripada sembilan keluarga di Balai Raya Air Tawar.
“Seramai 19 orang melibatkan lima keluarga di Balai Raya Kampung Seri Jeram; 20 orang daripada enam keluarga di Tadika JAIM Kampung Pulau dan 48 orang daripada 10 keluarga di SK Belimbing Dalam di Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Effendy, yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata keadaan cuaca di Melaka pada ketika ini dilaporkan mendung. – BERNAMA

