GEORGE TOWN – Bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2017, Gerakan Pulau Pinang hari ini mengedarkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan orang awam di Pasar Bayan Baru, di sini.
Naib pengerusinya Oh Tong Keong berkata Gerakan negeri mengedarkan 100 bendera Malaysia di pasar berkenaan.
“Program ini kami adakan juga sempena Sukan SEA yang rancak berlangsung di Kuala Lumpur.
“…sejak merdeka, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya tetap bersatu padu. Saya harap Malaysia akan terus maju dan keamanan ini terus kekal,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata Gerakan negeri juga merancang untuk memperluaskan program itu ke kawasan lain. – BERNAMA