PETALING JAYA – Tindakan perlu diambil terhadap Malindo Airways Sdn Bhd, pengendali syarikat penerbangan Malindo Air, yang gagal menjelaskan cukai lapangan terbang berjumlah kira-kira RM70 juta, kata aktivis sosial Tunku Abdul Aziz Ibrahim.
Beliau berkata syarikat penerbangan itu dilaporkan gagal membayar cukai berkenaan yang dikutip bagi pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Wang tersebut adalah cukai lapangan terbang (penumpang) dikutip oleh Malindo Air yang perlu dibayar apabila tiba masanya dan tidak boleh ditangguhkan, katanya.
“Menteri Pengangkutan dan Pengarah Urusan MAHB akan sedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perkara ini.
“Agensi-agensi ini boleh menyiasat kes ini yang mungkin mempunyai implikasi ekonomi, diplomatik dan politik dalaman bagi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang bercakap sebagai aktivis sosial mengenai perkara itu berkata terdapat kebimbangan bahawa Malindo Air, sebuah syarikat penerbangan beroperasi dari KLIA dan bukannya KLIA2, mengggunakan ruang yang diperlukan untuk syarikat penerbangan dengan perkhidmatan penuh. – BERNAMA