LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) 3 Lumut menahan sebuah bot nelayan tempatan kira-kira lapan batu nautika dari selatan Pulau Pangkor di sini, hari ini.
Pengarahnya, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata Kapal Maritim (KM) Nyalau yang diketuai Leftenan Maritim Ahmad Shaifuruddin Jamaluddin itu juga turut menahan seorang tekong warga tempatan dan dua awak-awak warganegara Myanmar kira-kira pukul 11.20 pagi tadi.
Beliau berkata bot nelayan itu dipercayai dari Hutan Melintang dan ditahan ketika anggotanya sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut telah menjalankan aktiviti menangkap ikan tetapi melanggar syarat-syarat yang dinyatakan di dalam lesen kerana menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua warga Myanmar yang ditahan berumur antara 40 hingga 55 tahun itu masing-masing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Mat berkata kes itu merupakan kes ketiga berjaya dihidu kru KM Nyalau atas kesalahan yang sama dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imgiresen 1959/63.
“Bot bersama tekong dan awak-awak kemudiannya diiringi balik ke jeti Kampong Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kata Wan Mat, pihaknya akan bertindak tegas terhadap bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan. -BERNAMA