KAJANG — Datuk Seri Najib Tun Razak berharap syarikat-syarikat tempatan, termasuk syarikat bumiputera yang terlibat dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), menggunakan pengalaman mengendalikan projek itu untuk menerokai peluang pasaran baharu.
Perdana Menteri berkata kejayaan melaksanakan projek mega itu telah membuktikan syarikat-syarikat terbabit berupaya dan mampu bersaing bukan hanya dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Projek ini telah dapat dilaksanakan dengan menggunakan kepakaran syarikat Malaysia termasuk syarikat bumiputera, sekali gus terbukti kemampuannya.
“Jadi apa yang perlu bagi kita ialah apabila kita melaksanakan projek mega seperti ini untuk mendapatkan pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin. Gunakan ilmu dan pengalaman itu untuk kita menerokai pasaran lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual secara santai oleh pengacara majlis sebaik tiba di Stesen MRT Stadium Kajang di sini dari stesen bawah tanah Tun Razak Exchange selepas melancarkan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen berkenaan.
Ketika ditanya pengalamannya menaiki tren MRT dari Stesen Tun Razak Exchange di ibu negara ke Stesen Stadium Kajang, Najib berkata perjalanan selama 30 minit itu berjalan lancar dan menyifatkannya satu pengalaman manis.
“Kita dapat merasai apa makna kemudahan infra rakyat bertaraf dunia dan ini bukan sekadar sebutan sahaja tetapi telah menjadi realiti,” katanya,
Perdana Menteri menegaskan bahawa projek itu adalah permulaan kepada lebih banyak projek lain akan datang.
Turut mengiringi Najib ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet, Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang juga Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Najib berkata beliau terharu dan amat berpuas hati dengan kejayaan pelancaran projek itu yang menurutnya adalah hasil usaha kolektif semua pihak.
“Pada 2009, waktu itu bila saya buat keputusan untuk memberikan kelulusan kepada projek ini, memang ia tidak ada apa-apa, hanya sekeping kertas. Tetapi hari ini setelah tujuh tahun ia sudah menjadi realiti,” katanya. – BERNAMA

