GANDINGANNYA bersama Janna Nick menerusi drama Biar Aku Jadi Penunggu pada tahun lalu telah menaikkan kembali nama Ashraf Muslim, 35, sebagai pelakon yang diminati.
Mendapat penerimaan yang baik dari penonton membuatkan Ashraf menganggap perkara tersebut sebagai peluang keduanya untuk kembali berlakon.

Walau bagaimanapun, dia tidak mahu statik dengan gelaran sebagai pelakon kerana dia menyimpan hasrat untuk bergelar pengarah berjaya seperti Syamsul Yusof.
“Saya ada juga terfikir sampai bila hendak berlakon dan saya mahu mencuba sesuatu yang baru dalam karier seni saya.
“Sekarang saya sudah mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip serta pengarahan tetapi masih banyak yang perlu saya pelajari.

“Saya menyasarkan hasrat untuk bergelar pengarah dan saya kagum dengan Syamsul Yusof. Saya ingin menjadi sepertinya dalam bidang pengarahan,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, walaupun berhasrat untuk bergelar pengarah, dia tidak terburu-buru kerana mahu menyiapkan diri dengan ilmu dan pengalaman.
Menurut Ashraf, masih banyak yang perlu dipelajarinya kerana keyakinan diri untuk bergelar pengarah masih kurang dan dia mahu bersedia sepenuhnya sebelum menggalas tanggungjawab tersebut. – MYNEWSHUB.CC

