TELUK INTAN – Seorang warga emas bersama cucu dan seorang tetamunya nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Seri Setia, di sini terbakar pada 11 pagi tadi.
Insiden itu memusnahkan hampir 25 peratus daripada keseluruhan rumah banglo milik Che Putih Rokiah Abd Kadir, 77.
Che Putih Rokiah ketika ditemui berkata ketika kejadian beliau sedang melayan adik lelakinya berusia 70-an, yang berkunjung ke rumahnya di bahagian dapur sambil menikmati kuih raya, manakala cucunya Siti Nornaillah Mohd Akhyar, 25, yang mengalami masalah kesihatan berehat di dalam bilik solat.
“Tiba-tiba Siti Nornaillah berlari keluar sambil menjerit memberitahu api telah menyambar bilik berkenaan dan dalam keadaan kelam-kabut kami terus keluar dan duduk di anjung sambil tidak tahu nak buat apa.
“Mujurlah ada beberapa orang yang lalu di situ dan bantu kami menghubungi bomba selain menyelamatkan beberapa barangan antaranya televisyen, motosikal dan kereta. Kalau tiada mereka, tidak tahulah apa terjadi kepada kami selepasnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Zulkifle Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melaporkan kebakaran itu pada 11.05 pagi.
“Dua jentera dengan kekuatan 12 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran,” katanya.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat. – BERNAMA

