KOTA KINABALU – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan menjejaki seorang lagi lelaki kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum memperdaya seorang warga Pakistan dengan meminta wang RM100 dari mangsa, di Likas.
Suspek berusia 32 tahun yang baralamat di Kampung Likas ditahan kira-kira jam 12.40 tengah malam, 4 Julai lepas semasa sedang mengisi minyak di sebuah stesyen minyak di kawasan perkampungan itu.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata, selain sebuah kenderaan, turut dirampas daripada suspek antara lain sepasang gari, dua keping MyKad, sekeping kad pengawal keselamatan dan wang tunai RM70.
Menurut M.Chandra pada hari kejadian , suspek dan seorang lagi rakannya yang masih bebas itu menahan seorang warga Pakistan yang dalam perjalanan ke rumahnya di hadapan Masjid Jamek Kampung Likas, kira-kira jam 11.15 malam.
Suspek yang didapati positif dadah itu kemudian menawarkan MyKad kepada mangsa berkenaan serta meminta wang sebanyak RM100 daripada mangsa sebelum beredar.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Kinabalu selepas suspek beredar.
“Sesiapa yang mengetahui dan mengenali suspek (kedua), Isen Hussin, yang masih bebas diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp P. Palani Nathan di talian 016-4122835. – BERNAMA

