KUALA LUMPUR – Pemain tenis kebangsaan tidak perlu mempunyai perasaan rendah diri terhadap pesaingnya dan kekal fokus jika mahu mengulangi kejayaan meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.
Ketua jurulatih skuad tenis negara, Muliyadi Jamal berkata apa yang berlaku pemain negara mempunyai sikap hormat kepada pihak lawan kerana mereka berada di ranking yang lebih rendah daripada pemain lawan.
Justeru, Muliyadi berkata pengurusan skuad tenis mengambil inisiatif menggunakan khidmat pakar psikologi berpengalaman bagi mengatasi masalah berkenaan dalam kalangan pemain tenis pada temasya kali ini.
“Berdasarkan analisis yang pernah dibuat, jika dibandingkan dengan pemain luar, pemain kita ini tahap keyakinan itu agak kurang bila berdepan lawan pada ranking lebih tinggi. Kalau kita tengok dari segi peluang (untuk menang) itu ada, cuma para pemain perlu ketepikan ‘rasa’ itu.
“Lagi 37 hari menjelang Sukan SEA ini, kita telah memanggil seorang pakar psikologi dari Institut Sukan Negara (ISN) untuk adakan perundingan secara bersemuka bersama atlet Sukan SEA,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pada sidang media Program Kita Juara di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai persiapan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu, Muliyadi berkata kesemua pemain sudah bersedia dan telah diberikan pendedahan secukupnya sejak tahun lepas lagi.
Mengakui tugas berat menanti skuad tenis negara apabila berdepan pencabar seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina, Muliyadi berkata beliau yakin anak buahnya mampu untuk melakukan kejutan apatah lagi beraksi di hadapan penonton tempatan.
“Kita akan sertai lima acara kesemuanya dan memang kita mahukan emas di gelanggang sendiri. Tapi kita juga perlu realistik dan mensasarkan dua gangsa masing-masing dalam acara beregu lelaki dan wanita.
Pada ketika ini, prestasi pemain beregu adalah lebih baik berdasarkan ranking terkini para pemain. Kita tahu Thailand akan menghantar skuad terbaik tapi kita yakin pemain kita juga mampu melakukan kejutan,” katanya.
Skuad tenis negara akan beraksi di kejohanan Piala Konfederasi (wanita) dan Piala Davis (lelaki) serta Terbuka Malaysia sebelum menghadapi ujian sebenar di temasya Sukan SEA, Ogos ini.
Pada 2001, skuad negara dalam acara tenis mencatat pencapaian terbaik pada 2001 apabila meraih pingat perak acara berpasukan wanita menerusi Khoo Chin-bee, Tan Lyn Yin dan Liaw Chen Yee.
Pada edisi 2015 di Singapura, Malaysia meraih dua gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.
Skuad lelaki diwakili Ariez Deen Heshaam, Mohd Merzuki, Syed Mohd Agil Syed Naguib dan Muhammad Zainal Abidin manakala manakala wanita pula disertai Jawairiah Noodin, Theiviya Selvarajoo dan Yus Syazlin Yusri.
SENARAI PEMAIN TENIS KE SUKAN SEA KE-29:
Lelaki:
1. Ahmed Deedat Abdul Razak
2. Assri Merzuki
3. Syed Mohd Agil Syed Naguib
4. Christian Oliver Lee
5. Koay Hoa Seng
Wanita:
1. Jawairiah Noordin
2. Theiviya Selvarajoo
3. Uma Nayar
4. Suhana Sofia Mohd Adam
5. Aslina Chua
– BERNAMA