NEW DELHI – Lebih 1.75 juta penduduk terjejas akibat bencana banjir yang melanda Assam di timur laut India, lapor agensi berita China Xinhua.
Sebanyak 26 daripada 33 daerah di negeri itu terjejas manakala seramai 29,000 penduduk ditempatkan di 123 pusat pemindahan.
Seorang pegawai kerajaan tempatan berkata, paras air di beberapa sungai kini pada paras bahaya dan bencana itu setakat ini mengorbankan 52 nyawa serta 32 ekor haiwan liar mati.
“Hari ini dua kanak-kanak lemas di selatan Salmara menjadikan angka kematian meningkat 52 orang,” lapor All India Radio (AIR).
Banjir turut menenggelamkan taman negara Kaziranga dan tempat perlindungan hidupan liar menyebabkan 32 haiwan mati termasuk tiga ekor badak.
Menteri Perhutanan Pramila Rani Brahma berkata, pihak berkuasa tempatan terpaksa menggunakan dron untuk menghalang pemburuan haram di taman berkenaan.
“Setakat ini, 90 ekor haiwan diselamatkan dan pasukan tambahan dihantar ke Kaziranga,” katanya. – BERNAMA