KUALA LUMPUR – Seramai 3,014 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 57 majikan ditahan oleh Jabatan Imigresen (Imigresen) melalui Ops Mega e-Kad sehingga pukul 8 pagi ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi yang bermula 1 Julai lalu itu 180 individu turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan berhubung PATI.
“Imigresen telah mengadakan sebanyak 502 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan sebanyak 3,071 orang ditahan Imigresen dalam Ops Mega e-Kad.
“Seramai 9,320 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 3,014 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafar berkata, daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 1,160 orang, diikuti warga Indonesia (695), Myanmar (231), Vietnam (116), Thailand (111), Filipina (95) dan dari negara-negara lain.
Menurut beliau, seramai 2,429 PATI terbabit lelaki, 570 perempuan dan 15 kanak-kanak.
Tegas beliau, Imigresen telah memberi tempoh yang secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka daripada golongan PATI.
“Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh sesetengah majikan. Oleh itu mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan ini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

