SITIAWAN – Seorang wanita lengkap berpakaian dan masih lagi memakai topi keledar ditemukan mati di tepi jalan di Simpang Lima berhampiran Ayer Tawar, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Khim berkata bilik gerakan menerima maklumat daripada orang awam yang terjumpa mayat tersebut di atas rumput di tepi jalan kira-kira 1.30 petang.
Beliau berkata mayat wanita berumur lingkungan 20-an itu bagaimanapun belum dikenal pasti identitinya berikutan tiada sebarang pengenalan identiti ditemui.
“Pihak kami sedang menyiasat identiti mangsa. Mangsa ditemukan dengan kesan calar di tangan kanan dan lebam di mata.
“Kita akan menghantar mayat mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Chong berkata hasil siasatan mengenai kematian mangsa dijangka akan diketahui esok.
– BERNAMA

