ARAU – Kemudahan infrastruktur Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) membabitkan kawasan seluas lebih 1,215 hektar, dijadual siap sepenuhnya pada tahun 2020, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Menurutnya, ini termasuk pembinaan Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) bernilai RM36 juta dan merupakan pusat sehenti untuk pelabur mendapat maklumat serta berunding dengan pihak berkuasa, yang dijangka siap September ini.
“CVIA adalah projek kerajaan negeri yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dan bakal menjadi pemangkin ekonomi Perlis.
“Ia dijangka menjana pendapatan kasar berjumlah RM2.58 bilion menjelang tahun 2025,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Ramadan kepada seramai 1,853 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang di Masjid Bongor Kudong di sini, hari ini.
CVIA dilancarkan secara rasmi oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 27 Mac lepas.
Mengulas lanjut potensi daya maju CVIA, Azlan menegaskan, beliau tidak akan bertindak melaksanakan sesuatu projek jika meragui sama ada ia dapat dijalankan atau sebaliknya.
“Saya mengambil pendekatan untuk membuat kaji selidik dan perundingan (terlebih dulu).
“Selepas didapati sesuai manakala terma serta syaratnya dapat dicapai serta menguntungkan kedua-dua pihak (kerajaan dan pelabur), barulah kita melancarkannya,” katanya.
Mengenai bantuan Ramadan, beliau berkata Sanglang merupakan DUN ke-11 mendapat bantuan itu manakala DUN Pauh, Kayang, Santan dan Indera Kayangan dijangka menerima sumbangan itu sebelum 17 Ramadan ini.
Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM4.5 juta untuk program itu bagi diagihkan kepada 30,521 golongan warga emas, ibu dan bapa tunggal serta orang kurang upaya (OKU) yang menerima RM150 seorang manakala anak yatim RM100 seorang. – BERNAMA

