SENARAI barang kemas dipaparkan portal propembangkang Malaysiakini didakwa konon dibeli Low Taek Jho sebagai hadiah kepada isteri Perdana Menteri, didapati tiada di dalam senarai aset yang mahu dirampas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) dalam saman sivil mereka.
Seutas rantai berlian warna merah jambu 22 karat berharga RM116 juta itu apabila disemak, langsung tiada ditulis dalam mana-mana daripada 251 halaman kenyataan dikeluarkan DoJ pada 14 Jun 2017 lalu.
Ada lagi sejumlah 27 barang kemas 18 karat lain didakwa oleh pihak DoJ konon dibeli melalui dana yang diambil daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.6 bilion.
Kena fahami betul-betul. Jika berlian RM116 juta itu tidak disebut oleh DoJ, kenapa Malaysiakini sebagai pihak ketiga beriya-iya sangat hendak memfitnah dan menyerang Datin Seri Rosmah Mansor?
Pihak DoJ langsung pun tidak sebut nama Rosmah. Ini bermakna, pihak pembangkang di Malaysia menerusi Malaysiakini yang jelas sudah melebih-lebih dalam isu sebegini.
Pihak media antarabangsa juga memetik cerita tidak betul dan persepsi Malaysiakini ini. Reuters, CNN, Al Jazeera dan Bloomberg sudah kena tipu dengan Malaysiakini. Agenda memburukkan Malaysia sudah berjalan.
Mungkinkah dana AS$5 bilion yang disalurkan menerusi Clinton Foundation oleh Tun Daim Zainuddin seperti pendedahan Raja Petra Kamarudin itu, telah ‘membeli’ nilai etika kewartawanan media asing ini.
Sungguh ‘murah’ harga media asing ini. Semata-mata untuk menjayakan kempen menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih menerusi sistem demokrasi, mereka sanggup tipu dengan maklumat tidak benar dari Malaysiakini.
Perlu difahami juga, wang RM2.6 bilion yang dituduh konon diseleweng dari duit 1MDB adalah tidak benar. 14 April 2016, Adel Al Jubeir, Menteri Luar Arab Saudi mengesahkan sumbangan RM2.6 bilion dari negara terbabit.
Bermakna RM2.6 bilion itu bukan dari 1MDB. Semasa lawatan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia, kenapa Tun Mahathir Mohamad tidak tanya betulkah duit RM2.6 billion itu diseleweng oleh Jho Low untuk beli berlian?
Sebelum itu, pada 26 Januari 2016, Tan Sri Apandi Ali, Peguam Negara sendiri menyatakan bahawa sumbangan RM2.6 billion tersebut disahkan adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Malahan pada bulan Ogos 2013, sejumlah RM2.03 bilion telah dipulangkan semula kepada Arab Saudi kerana dana itu tidak dipakai. Oleh itu, logik Malaysiakini bahawa wang RM2.6 bilion ini dicuri dari 1MDB adalah salah.
Persepsi yang dicipta bahawa RM2.6 bilion itu diguna untuk membeli berlian juga tidak betul. Reuters, CNN, Aljazeera dan Bloomberg sudah ditipu dengan cerita bohong dari Malaysiakini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataan pada 18 Jun lepas mengesyaki ada agenda politik jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.
“Malaysia berhak tahu siapa pengadu terbabit dan DoJ perlu dedah identiti mereka agar Malaysia mengesahkan apa kaitan pengadu dengan agenda parti pembangkang bagi guling Perdana Menteri dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di Malaysia,” kata beliau.
Tindakan ulangan DoJ ini selepas kali pertama pada 20 Julai 2016, dibuat untuk mewujudkan persepsi semata-mata. Tiada asas, tiada bukti dibawakan, tiada saksi dipanggil dan belum pun dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan yang adil dan telus.
Maka apakah keperluan DoJ untuk mengaitkan individu itu jika DoJ sendiri pun tidak bercadang untuk merampas 28 barang kemas yang ada dalam senarai berkenaan.
“Kamu (DoJ) sindir dan beri gambaran seolah-olah Rosmah dan berlian itu buat sesuatu salah, tapi dalam dokumen diserahkan, kamu tak masuk pun berlian itu sebagai satu harta yang hendak dirampas,” kata Abdul Rahman.
Semalam, bekas Ketua Srikandi PPBM, Ainina Saadudin menyatakan gambar berlian yang disebar jahat oleh Malaysiakini adalah palsu. Gambar dan cerita cincin RM24 juta oleh si Rafizi Ramli dulu pun palsu juga.
Tajuk berita yang konon menggunakan kepala akhbar Utusan Malaysia “Beli sendiri guna duit menabung dari kecil – Rosmah” juga terbukti adalah palsu.
Oleh itu, apa yang Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hasut rakyat agar bercerita tentang berlian RM116 juta ini semasa pulang beraya nanti adalah satu tindakan menyebar fitnah dan hasutan.
Mengajak rakyat agar menyebar cerita palsu. Ajak rakyat fitnah cerita bohong. Dalam bulan Ramadan ini pun, parti lambang bunga raya ajak rakyat terus menambah dosa.
Sudah di akhir Ramadan, orang sibuk menambah pahala dan mencari Lailatulqadar, puak-puak parti cap bunga raya sibuk pula menambah dosa memfitnah cerita berlian.
Untuk rekod, nama pengadu pun tidak didedahkan DoJ malah ia tidak pun menamakan Najib sebaliknya hanya menggunakan gelaran Malaysian Official 1 (MO1) dalam hal ini.
Jika benar semua butiran dan bukti sudah lengkap, maka segeralah namakan siapakah sebenarnya yang terlibat atau siapakah MO1 itu?. Jangan buat spekulasi seperti sekarang.
Mereka bijak reka cerita itu ini, lakar gambarajah, buat gambaran dokumen, kemudian wujudkan persepsi tidak baik untuk fitnah orang, memecah belah masyarakat dan hasut rakyat benci kerajaan.
Perbuatan fitnah lebih berbahaya daripada pembunuhan kerana boleh menyebabkan masyarakat hilang perasaan kasih sayang dan mencetuskan permusuhan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah, ayat 217: “Dan fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh”.
Sebagai seorang rakyat yang patuh pada ajaran agama, kita jangan mudah ditipu oleh portal pemfitnah No.1 iaitu Malaysiakini dan seruan untuk fitnah tentang isu berlian RM116 juta yang dibuat oleh parti bunga raya.
Teruskan beribadat dalam malam malam terakhir Ramadan ini. Jauhi cerita fitnah, spekulasi dan persepsi. – Beruang Biru