SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini hari ini.
Baginda tiba di perkarangan masjid kira-kira 6.20 petang, dengan diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut hadir, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan zakat sempena menyambut Ramadan dan Syawal kepada 410 asnaf fakir, miskin dan mualaf, dengan setiap mereka menerima wang tunai RM500 seorang.
Baginda turut berkenan menerima sumbangan zakat bernilai RM15.8 juta bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) daripada lima syarikat antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, UMW Holding Berhad dan Worldwide Holding Berhad.
Kesemua bayaran zakat itu merupakan bayaran bagi tahun kewangan berakhir 2016.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam ucapannya berkata LZS mengagihkan RM33 juta bantuan zakat untuk keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor sempena Ramadan ini.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta diagihkan kepada 13,567 asnaf fakir, RM21.7 juta kepada 29,841 keluarga asnaf miskin dan RM1.2 juta kepada 2,637 asnaf mualaf,” katanya. – BERNAMA