SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah serta sembah ucapan setulus ikhlas sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, baginda berdua mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, dilanjutkan usia dalam keberkatan serta terus berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT dalam memayungi negara serta memimpin rakyat dengan penuh kebijaksanaan dan wibawa.
Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor turut menzahirkan sokongan dan menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Baginda menegaskan bahawa rakyat jelata, khususnya golongan generasi muda, perlu memahami, menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara bagi memastikan keharmonian serta keamanan terus terpelihara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurut Baginda, penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara adalah asas penting dalam memperkukuhkan perpaduan nasional dan memupuk semangat saling menghormati antara rakyat Malaysia.
Sultan Selangor turut menyeru seluruh rakyat agar terus menjunjung tinggi nilai-nilai kenegaraan serta semangat perpaduan demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara untuk generasi akan datang. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Selangor Royal Office


