KUALA LUMPUR – “Cukuplah sekali dipermainkan pakatan pembangkang. Pilihlah parti yang mempunyai agenda perjuangan yang jelas supaya kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor terbela.”
Demikian pesanan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Sohaimi Shahadan kepada seluruh rakyat Selangor terutama mereka yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Menurut beliau, rakyat Selangor wajar menilai betapa kerajaan pakatan pembangkang Selangor langsung tidak mempedulikan kepentingan mereka sebaliknya terlalu sibuk memikirkan kepentingan diri masing-masing.
Beliau meminta rakyat Selangor mengingati peristiwa ‘Langkah Kajang’ yang mempermainkan mandat rakyat apabila salah seorang wakil rakyat negeri itu diarahkan meletak jawatan bagi memenuhi keinginan peribadi tertentu.
“Saya kira semua masih ingat lagi mengenai ‘Langkah Kajang’ menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar semata-mata mahu memenuhi keinginan politik individu tertentu.
“Rakyat Selangor perlu muhasabah, jangan lagi mengulangi kesilapan lalu dengan memilih pembangkang yang tidak memikirkan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
‘Langkah Kajang’ yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu merupakan peristiwa politik kotor yang menyaksikan konspirasi pimpinan PKR menumbangkan Menteri Besarnya sendiri bagi memenuhi kehendak Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan itu.
Hasrat Anwar bagaimanapun tidak kesampaian apabila Mahkamah Rayuan memutuskan beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana didapati meliwat seorang lelaki lain iaitu pembantu peribadinya.
Anwar kemudian mengarahkan PKR mencalonkan isterinya yang juga Presiden PKR menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi tidak mendapat perkenan Sultan Selangor menyebabkan parti itu terpaksa mencalonkan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memegang jawatan itu.
Sohaimi dalam pada itu menyeru rakyat Selangor supaya menilai polemik politik Selangor yang merugikan negeri itu selepas PAS membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan PKR awal bulan ini.
“Hingga hari ini PKR masih gagal membuat keputusan mengenai kedudukan tiga Exco PAS. Wan Azizah dan Mohamed Azmin terus mencipta drama swasta apabila bermain tarik tali untuk membuat keputusan mengenainya.
“Namun, bukan itu yang mahu saya pertikaikan, sebaliknya saya ingin menyeru rakyat Selangor supaya berfikir sejenak dan membuka mata terhadap krisis yang berlaku di negeri itu secara jelas mengenepikan kepentingan dan agenda rakyat.
“Krisis yang sedang melanda Selangor kini secara jelas sebenarnya membuktikan pakatan yang dibina pembangkang cukup rapuh dan tidak mampu untuk menjadi tempat berpaut buat rakyat.Pakatan yang dibina tanpa persefaham tanpa agenda perjuangan yang jelas,” katanya.
PAS baru-baru ini secara rasmi mengumumkan parti itu memutuskan kerjasama dengan PKR selepas menilai desakan ahlinya supaya PAS berbuat demikian dalam muktamar parti itu baru-baru ini.
Keputusan itu diambil selepas Majlis Syura Ulama PAS mengesahkan memang benar PKR banyak melanggar syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam termasuk menentang pembentangan RUU 355 di Parlimen.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan kerajaan Selangor kini ditadbir oleh sebuah `kerajaan rojak’ kerana pentadbirannya dibarisi pimpinan parti yang saling bermusuh iaitu DAP, PKR dan PAS. – MYNEWSHUB.CC