KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan beliau tidak gentar dengan penyokong PAS dan UMNO.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, beliau tidak gentar sedikit pun dengan penyokong dua parti itu yang menyerangnya kerana dakwaannya berhubung nelayan.
“Saya menyedari ramai penyokong tegar PAS dan UMNO menyerang saya berikutan kenyataan saya sebelum ini, tapi saya tidak gentar sedikit pun.
“Saya percaya sekiranya warga nelayan terganggu, maka rakyat Terengganu juga akan terkesan dengan kekurangan sumber protein utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raja Kamarul Bahrin sebelum ini membuat dakwaan kononnya purata pendapatan nelayan adalah RM400 sebulan dalam satu langkah yang dilihat segelintir pihak sebagai taktik untuk memberi persepsi tidak baik keatas kerajaan Malaysia.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun menyinggung ramai pihak kerana seolah-olah memperlekehkan pendapatan yang boleh dicapai dengan mencari rezeki sebagai nelayan.
Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) turut menyelar Raja Kamarul Bahrin kerana cuba menjadikan golongan nelayan sebagai medium terbaru untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Pengerusi Nekmat, Ahmad Rudin Hussain malah menerangkan adalah tidak munasabah bagi nelayan yang konsisten turun ke laut hanya untuk mendapatkan RM13 sehari.
“Pendapatan nelayan semakin naik sejak harga ikan meningkat tinggi dan permintaan hasil laut naik sejak akhir-akhir ini.
“Kenyataan-kenyataan ini menggambarkan beliau sengaja merendahkan taraf nelayan untuk mendapat populariti,” kata Ahmad Rudin. – MYNEWSHUB.CC

